CARA
MENGATASI MASALAH SOSIAL
Nazli Azman
IPG Kampus Dato’ Razali Ismail
Selain punca-punca lain, terdapat
punca lain yang mendatangkan gejala sosial adalah globalisasi dan modenisasi.
Perubahan-perubahan pantas tahap nasional berlaku kerana perubahan pada arus
global yang digelar globalisasi. Globalisasi tidak saja ditanda dengan dominasi
ekonomi tetapi ia merentasi ke arah budaya dan pemikiran. Pembudayaan kota
(city culture) menuruti landasan Barat berlaku dengan lebih pantas dan agresif
dengan adanya teknologi maklumat dan multimedia sebagai kenderaan yang amat
berkesan untuk melakukan agenda globalisasi.
Lazimnya, kita sebagai manusia
mempunyai sifat ingin tahu terhadap perkara baru dan trendy, iaitu bukan dari
budaya ketimuran. Tidak mustahil kita akan jatuh terpengaruh dan mengikut arah aliran
kebaratan, terutama sekali golongan belia. Contohnya seperti mewarnakan rambut,
memakai anting-anting atau tatu bahkan sampai kepada hal-hal yang sangat teruk
seperti pengambilan minuman keras dan pergaulan bebas yang boleh menjurus
kepada masalah- masalah gejala sosial yang lebih serius. Mungkin sesetengah
orang menganggap ini merupakan satu fenomena yang biasa namun di negara yang
masih berpegang teguh pada falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) seperti Brunei
Darussalam, ia merupakan satu perkara yang keterlaluan dan perlu dielakkan.
Globalisasi bergerak seiringan dengan
modenisasi. Dalam dunia serba moden ini, masyarakat mementingkan prestij dan
kemewahan, oleh sebab itu mereka menjadi semakin individualistik dan
materialistik. Bandingkan dengan masyarakat tradisional, masyarakat moden
mempunyai cita-cita tinggi, kompetitif dan tidak lagi menganggap saudara-mara
atau jiran-jiran sebagai kelompok rujukan, bahkan adat tradisional juga sudah
ditinggalkan. Bukan saja berpaling daripada budaya kita sebagai orang Melayu
tetapi juga daripada tuntutan agama Islam. Ukhuwah atau persaudaraan adalah
sesuatu yang amat dituntut dalam Islam memandangkan ianya akan dapat
mengukuhkan perpaduan sesama manusia, khususnya sesama muslim. Firman Allah SWT
: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya
kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah
orang yang paling takwa di antaramu. Sekiranya terjadi ketidaksefahaman antara dua
kelompok orang Islam, maka al-Quran telah memberikan contoh penyebab yang
menyebabkan keretakan hubungan, sekaligus melarang setiap Muslim dari
melakukannya. Untuk mengelakkan keretakan perpaduan dalam kalangan manusia
akibat dari perbuatan devein gejala sosial, maka beberapa langkah pendekatan
untuk mengurangkan masalah gejala sosial harus diambil. Terdapat pelbagai jenis
kaedah yang boleh diambil.
1.0
Peranan Ibubapa
Menurut Mazlan (2008) dalam artikel di
laman blognya yang bertajuk Punca-punca Dan Cara-cara Mengatasi Masalah
Disiplin mengatakan bahawa antara punca paling utama yang menyumbang kepada masalah
sosial ialah kurangnya kasih sayang dari keluarga. Justeru, menurut Lokman Mohd
Hashim (2009) dalam artikel di blognya bertajuk Masalah Sosial Di Kalangan
Remaja : Punca Dan Penyelesaian, antara langkah penyelesaian yang harus diambil
ialah menghidupkan kembali peranan ibubapa yang aktif dalam memastikan tahap
akhlak dan keperibadian anak-anak sentiasa utuh dalam diri mereka.
Peranan ibu bapa adalah amat penting
dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa
mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu
bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh
anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut.
Menurut Nik Salida Suhaila Nik Saleh (2010) dalam tulisannya di akhbar Berita
Harian Online bertajuk Kekeluargaan Renggang Punca Masalah Sosial, beliau
menyatakan bahawa akibat dari kesibukan kedua ibubapa mengejar kerjaya,
kelihatan hari ini masalah kebejatan sosial dalam keluarga hanya dipandang sepi
dan remeh. Jika semakin membarah baru hendak diambil tindakan. Sewaktu itu nasi
sudah menjadi bubur bagi ibubapa tersebut. Selain itu ibubapa juga seharusnya
mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka
berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik.
Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian
bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan
sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan
penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak
cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan,
menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri
serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
2.0
Peranan Pihak Sekolah
Menurut Lokman Mohd Hashim (2009)
dalam artikel di blognya bertajuk Masalah Sosial Di Kalangan Remaja : Punca Dan
Penyelesaian, antara langkah penyelesaian yang boleh diambil dalam mengekang
penularan masalah gejala sosial ini ialah memperkasakan peranan pihak sekolah terutama
dari aspek akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti
berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di
sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran
seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik
pengajaran luar kelas.
Menurut Asnah Hamid (2007) melalui
artikel dalam blognya yang bertajuk Masalah Sosial Di Kalangan Remaja Kini,
beliau telah menggariskan beberapa peranan yang harus dimainkan oleh pihak
sekolah dalam membendung penularan masalah sosial ini. Sekolah mempunyai fungsi
yang tersendiri dalam mendidik generasi baru dengan akhlak Islam. Antara lain
sekolah boleh menggandakan keberkesanan institusi pendidikan, menambahkan
produktivitinya, meningkatkan kewibawaannya di kalangan setiap anggotanya baik
mereka itu pelajar atau petugas. Boleh juga memperbaiki suasana persekolahan,
mendaulatkan undang-undang atau peraturan Islam khasnya yang berkaitan dengan
persekolahan, memperbaiki hubungan antara sesama anggota sekolah atau
institusi. Pihak sekolah juga perlu memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai
murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas dasar kesedaran menghormati
peraturan dan pihak yang berwewenang, menjaga perasaan orang lain, menjaga
standard layanan dalam berinteraksi, berkorban untuk kepentingan ramai,
bekerjasama, melakukan self-criticism, mengawal diri, menghargai ilmu, menghormati
ulama' dan sebagainya. Membaiki prestasi persekolahan murid-murid dari segi
kualiti dan kuantiti, mendidik mereka dari segi agama, akhlak dan sosial secara
wajar dan sihat, mempersiapkan mereka agar dapat memikul tugas dan
tanggungjawab yang bakal mereka hadapi; di samping melatih mereka menghukum
atau menilai diri sendiri sebagai seorang yang berfikiran matang dan bebas.
Bimbingan dan nasihat yang lemah
lembut tetapi tegas kadang-kadang lebih meninggalkan kesan di dalam hati serta
dipatuhi. Hukuman atau penderaan bukanlah langkah utama yang merupakan
satu-satunya penyelesaian. Penderaan adalah langkah terakhir apabila contoh
yang baik, nasihat dan hubungan kasih sayang antara anak dan bapa atau guru
tidak mampu lagi untuk digunakan.
Demikianlah dalam Islam pembelajaran
tidak dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah di dahului oleh berbagai cara
dan pendekatan untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti melatih
bersembahyang dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan
kanak-kanak dan dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa. Misalnya
dengan memaparkan contoh, nasihat, perkataan yang baik, teguran yang lemah
lembut tetapi tegas dan sebagainya. Sekiranya cara-cara tersebut gagal barulah
dikenakan sedikit kekerasan yang bertujuan mendidik bukan yang menimbulkan
kecacatan fizikal dan sebagainya.
3.0
Peranan Media Massa
Menurut
Asnah Hamid (2007) melalui artikel dalam blognya yang bertajuk Masalah Sosial
Di Kalangan Remaja Kini, beliau telah mengatakan media massa merupakan satu
mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam
pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan
peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di
dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan
sahsiah umat khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas
dari cengkaman faham sekularisme, budaya komersial yang melampau, faham
kebendaan dan dorongan untuk hidup secara mewah dan berpoya-poya. Media massa
hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar komunikasi yang selaras
dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media massa hendaklah
meningkatkan rasa akauntabiliti, tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk
memihak dan menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan
sebagainya.
Para
pengguna media massa terutama golongan yang bertanggungjawab seperti ibubapa,
guru, pemimpin politik dan pentadbir hendaklah lebih bijaksana dalam mengarah,
membimbing, meningkatkan rasionaliti, kematangan dan kewaspadaan serta
keupayaan memilih siaran yang lebih bermanfaat untuk ditontoni oleh anak-anak
atau orang-orang yang di bawah jagaan mereka. Media massa juga sebenarnya boleh
menjadi wahana cultural domination dan imperialisme melalui berbagai saluran
teknologi maklumat yang canggih seperti internet, multimedia dan sebagainya.
4.0
Peranan Rakan Sebaya
Menurut
Asnah Hamid (2007) lagi melalui artikel dalam blognya yang bertajuk Masalah
Sosial Di Kalangan Remaja Kini, beliau menyatakan bahawa rakan merupakan antara
agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu ialah
rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan kelompok rujukan bagi remaja di dalam
tingkah laku mereka. Perasaan "sense of belonging" kepada kumpulan
adalah suatu yang lumrah. Remaja akan mengubahsuai dan mengadaptasikan
nilai-nilai rakan sebayanya untuk mendapat penerimaan dan pengakuran mereka.
Remaja memang menyedari adanya jurang generasi antara mereka dengan kumpulan
dewasa dan mereka sering berhadapan masalah dalam mewujudkan hubungan dengan
generasi yang lebih tua. Kajian yang dilakukan oleh Lambert dan rakan-rakannya
(1972) menunjukkan remaja menghadapi berbagai konflik apabila mereka berusaha
merentasi jurang generasi (generation gap) tersebut antara pemikiran mereka dan
pemikiran ibubapa mereka. Kajian menunjukkan bahawa masalah remaja lelaki dan
perempuan adalah :
•
kesukaran untuk membincangkan permasalahan mereka dengan para ibubapa mereka
dan para penjaga mereka
•
kesukaran untuk memberitahu ibubapa dan penjaga mereka mengenai apa yang mereka
lakukan
•
wujudnya jarak yang agak lebar antara jalan fikiran mereka dengan jalan
pemikiran ibubapa dan penjaga mereka.
Oleh kerana itu golongan remaja
umpamanya sering merujuk rakan sebaya dan kelompok sosial tertentu untuk
mendapat bimbingan ke arah menyelesaikan masalah mereka. Kesilapan di dalam
memilih kelompok rakan setara samada bersahabat dengan penagih dadah, kutu
lepak, gangster atau kumpulan samseng, bohsia dan sebagainya pasti akan
mengakibatkan kemusnahan akhlak golongan remaja dan dewasa.
5.0
Peranan Rumah Ibadah
Menurut Asnah Hamid (2007) lagi
melalui artikel dalam blognya yang bertajuk Masalah Sosial Di Kalangan Remaja
Kini, beliau menyatakan bagi umat Islam, rumah ibadat yang paling penting ialah
masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah Allah secara
berjemaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam, bahkan di
kota-kota besar dunia kewujudan bangunan masjid yang berbagai bentuk dan rupa.
Ada yang kecil dan ada pula yang besar. Masjid sentiasa menjadi lambang
kemegahan umat dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai
peranan dan pengaruh yang besar dalam meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak
dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya, cara hidup dan syiar Islam
lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. Sebab itu perkara pertama yang
dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke Madinah al
Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.
Ilmu yang dipelajari di masjid pada
masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, roh Islam dan akhlak. Ia
mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah. Ilmu yang
dipelajari membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada
Allah. Sebab itu lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi.
Apabila semangat dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan
semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu muncullah ilmuan-ilmuan
sekular yang amat benci kepada Islam dan ajaran Allah itu sendiri .
Ada berbagai bentuk kegiatan keilmuan,
kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di dalam atau di pekarangan
masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan sahsiah umat . Antaranya ialah:
1. Kelas Fardu
Ai
2. Kelas
Tajuid & Qiraat
3. Kelas Bimbingan
Remaja
4. Kelas
Bahasa Arab
5. Ceramah
Berkala
6. Seminar
Motivasi dan Pembentukan Syakhsiah.
7. Kursus
Rumahtangga Bahagia.
8. Kursus
Pengurusan Jenazah.
9. Madrasah
atau Sistem Pengajian Formal.
10. Kursus
Dakwah dan Imamah.
11. Acara
Tadarus al-Quran.
12. Khemah
Ibadan & Qiamullail.
13. Kursus
Pengurusan Masjid.
14. Kegiatan
Amar Ma'ruf & Nahi Munkar.
15. Seminar
Pengurusan Sumber Masjid.
16. Kempin
Memakmurkan Masjid.
17.Membentuk
organisasi Belia Masjid (Rakan Masjid)
Seluruh agensi sosial, Jentera
Kerajaan, Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan Badan-badan Korporat,
swasta dan awam hendaklah digembling untuk bersama-sama berperanan meningkatkan
kualiti akhlak umat samada dengan mengadakan kempen hidup beretika dan berakhlak
atau melancarkan buku-buku rujukan yang menjelaskan nilai-nilai akhlak tersebut
dan sebagainya.